وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Hadis : Bab 254 - Riyadus Solihin

>> Saturday, November 04, 2006

Kitab Pada Menyatakan Perkara - Perkara Yang Dilarang

254- Bab pada menyatakan haramnya mengumpat dan suruhan menjaga lidah

Ayat-Ayat Suci Al-Qur’anul Karim Yang Berkaitan

Ÿوَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

1- Firman Allah s.w.t: Dan janganlah sebahagian kamu mengumpati sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka sudah tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.

[ Surah al-Hujuraat ayat 12 ]

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً

2- Firman Allah s.w.t.: Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak tahu tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan disoal (diminta pertanngung jawaban).

[ Surah al-Isra’ ayat 36 ]

مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

3- Firman Allah s.w.t.: Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada dekatnya malaikat pengawas yang sentiasa hadir (Raqib Atid).

[ Surah Qaaf ayat 18 ]

‍‍‍‍‍‍‍‍‍‍

Berkata Imam Nawawi r.a.: Ketahuilah, sepatutnya setiap mukallaf mesti menjaga lidahnya daripada bercakap melainkan percakapan yang boleh mendatangkan kebaikan. Dan bila sesuatu percakapan itu adalah sama maslahahnya diantara menuturkannya atau tidak, maka yang lebih baik ialah tidak menuturkannya. Ini kerana percakapan yang harus kekadang boleh membawa kepada yang haram atau makruh. Dan ini biasa sahaja terjadi. Dan selamat tidak boleh dibanding dengan apa-apa pun.

Hadis-Hadis Yang Menunjukkan Haramnya Mengumpat Dan Suruhan Menjaga Lidah.

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ, عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

1512/1- Daripada Abi Hurarah r.a. , Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia katakan kebaikan ataupun dia diam.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Berkata Imam Nawawi: Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa sayugia janganlah seseorang itu bercakap melainkan jika percakapan yang baik, iaitu percakapan yang boleh menimbulkan kemaslahatan. Dan jika syak seseorang, adakah percakapan (yang ingin diucapkannya itu) baik atau tidak, maka janganlah dia cakapkan.

وَعَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَال:َ قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُسْلِمِيْنَ أَفْضَلُ؟ قَالَ: مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

1513/2- Daripada Abi Musa r.a., katanya: Aku bertanya, wahai Rasulullah, Siapakah muslim yang terbaik? Baginda menjawab: Sesiapa sahaja yang selamat orang-orang Islam yang lain daripada (kejahatan) lidahnya dan tangannya.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Hadis menunjukkan larangan mengkhianati manusia yang lain.

2- Orang Islam yang terbaik ialah yang sedikitpun tidak menyakiti orang lain

وَعَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الْجَنَّةَ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

1514/3- Daripada Sahl bin Saad r.a.katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menjamin kepadaku (untuk menjaga) apa yang berada di antara dua tulang gusinya (iaitu lidahnya) dan apa yang berada di antara dua celah kakinya (iaitu kemaluannya), maka aku jaminkan syurga untuknya.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Setiap muslim hendaklah memelihara lidah dan kemaluannya daripada perkara-perkara yang haram.

2- Memelihara lidah dan kemaluan daripada perkara haram adalah jalan untuk ke syurga dan melepaskan diri daripada neraka.

3- Rasulullah menjanjikan syurga kepada orang yang melakukan kebaikan. Maka kenapa sekarang ini ramai yang menganggap menjanjikan syurga adalah suatu kesalahan, sedangkan inilah cara Islam mendidik penganutnya?

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا إِلَى النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

1515/4- Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya terdapat orang yang menuturkan dengan satu perkataan yang dia tidak jelas (dia tidak fikir samada baik atau tidak), menyebabkan dia dihumbankan ke dalam neraka lebih jauh daripada jarak antara timur dan barat.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Setipa muslim hendaklah menjaga lidahnya dan janganlah sewenang-wenang melepaskan perkataan tanpa memikirkannya terlebih dahulu.

2- Perkataan yang buruk akan dibalas dengan buruk sekalipun orang yang menuturkannya sedikitpun tidak menganggapnya sebagai salah.

وَعَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ تعالى مَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ, وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ تعالى لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ.

1516/5- Daripada beliau juga, Nabi s.a.w. bersabda: Sesungguhnya terdapat seseorang yang bercakap dengan perkataan daripada perkataan keredhaan Allah Taala, sedangkan dia sedikit pun tidak mengendahkan perkataannya tadi, (tetapi) Allah telah mengangkat kedudukannya dengan sebab perkataannya tadi beberapa darjat. Dan ada pula yang bercakap dengan perkataan daripada perkataan kemurkaan Allah Taala, sedangkan dia sedikit pun tidak mengendahkan perkataannya tadi, (menyebabkan) dia dijatuhkan dengan sebab perkataannya tadi ke dalam neraka.

Hadis riwayat Bukhari.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Perkataan yang baik dijanjikan dengan darjat-darjat ketinggian di syurga sekalipun yang menuturkannya menganggapnya sebagai perkataan biasa sahaja.

2- Perkataan yang buruk sekalipun dianggap remeh akan dibalas dengan neraka.

وَعَنْ أبِيْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بِلَالِ بْنِ الْحَارِثِ الْمُزَنِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ تعالى مَا كَانَ يَظُنُّ أَنْ تَبْلُغَ مَا بَلَغَتْ يَكْتُبُ اللَّهُ لَهُ بِهَا رِضْوَانَهُ إِلَى يَوْمِ يَلْقَاهُ, وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ مَا كَانَ يَظُنُّ أَنْ تَبْلُغَ مَا بَلَغَتْ يَكْتُبُ اللَّهُ لَهُ بِهَا سَخَطَهُ إِلَى يَوْمِ يَلْقَاهُ.

رَوَاهُ مَالِكٌ فِيْ "الْمُوَطَّإِ" وَالتِّرْمِذِيُّ وَقَالَ: حَدِيْثٌ حَسَنٌ صَحِيْحٌ.

1517/6- Daripada Abi Abdil Rahman Bilal bin al-Harith al-Muzaniyy r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Sesungguhnya ada seseorang yang bercakap dengan perkataan daripada keredhaan Allah Taala sedangkan dia tidak sangka pun akan sampai perkataanya itu kepada tempat yang ia (perkataan) sampai (daripada kemuliaan dan pahala), Allah akan tuliskan baginya dengan sebab perkataanya tadi keredhaaNya sehingga hari kiamat. Dan ada pula lelaki yang bercakap dengan perkataan daripada kemurkaan Allah dan dia tidak sangkapun akan sampai perkataannya tadi ke tempat yang ia sampai (daripada keburukan dan kemurkaan Allah Taala), Allah akan tuliskan baginya dengan sebab perkataanya tadi kemurkaanNya sehingga hari kiamat.

Hadis riwayat Imam Malik dalam kitab al-Muwatto’ dan Tirmizi dan beliau berkata: Hadis hasan sohih.

Pengajaran Daripada Hadis

Berkata Al-Imam Ibnu Abdil Barr: Sepanjang pengetahuanku, tidak ada kekhilafan pun di kalangan ulamak bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan di sini ialah perkataan di hadapan pemerintah yang zalim.

Jika seseorang bercakap untuk menyukakan hati pemerintah tersebut sedangkan mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. seperti perkataan bersetuju untuk membunuh seorang muslim atau menzaliminya atau sebagainya, maka dia akan mendapat kemurkaan yang kuat daripada Allah s.w.t.. Begitu juga dengan perkataan keredhaan Allah s.w.t. di hadapan pemerintah yang zalim seperti perkataan yang menjauhkannya daripada menurut hawa nafsunya dan menyekatnya daripada melakukan kemaksiatan yang ingin dilakukannya, maka dia akan mendapat ganjaran keredhaan yang tidak terhingga daripada Allah s.w.t..

وَعَنْ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ حَدِّثْنِي بِأَمْرٍ أَعْتَصِمُ بِهِ, قَالَ: قُلْ رَبِّيَ اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقِمْ. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَخْوَفُ مَا تَخَافُ عَلَيَّ؟ فَأَخَذَ بِلِسَانِ نَفْسِهِ ثُمَّ قَالَ: هَذَا. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ, وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ.

1518/7- Daripada Sufyan bin Abdillah r.a., katanya aku bertanya: Wahai Rasulullah , beritahukan daku dengan satu perkara yang boleh aku pegang (dan aku akan selamat dengannya)? Baginda bersabda: Katakanlah! Tuhanku ialah Allah, kemudian istiqamahlah! Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah, apakah yang paling kamu bimbangi untuk diriku? Baginda pun mengambil dengan lidahnya dan bersabda: Ini.

Hadis riwayat Tirmizi dan beliau berkata: hadis hasan sohih.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Perkara pertama yang perlu ada ialah keimanan kemudian amalan yang berterusan (istiqamah).

2- Istiqamah adalah perkara yang sangat penting untuk seorang mukmin. Kerana inilah ulama’ muhaqqiq berkata: Istiqamah mengatasi karamah.

3- Hadis ini memperingatkan kita tentang pentingnya menjaga lidah.

وَعَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا تُكْثِرُوا الْكَلَامَ بِغَيْرِ ذِكْرِ اللَّهِ, فَإِنَّ كَثْرَةَ الْكَلَامِ بِغَيْرِ ذِكْرِ اللَّهِ تعالى قَسْوَةٌ لِلْقَلْبِ, وَإِنَّ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنَ اللَّهِ الْقَلْبُ الْقَاسِي. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ.

1519/8 Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah kamu benyak bercakap pada perkara yang bukan mengingati Allah. (Kerana) Sesungguhnya banyak bercakap pada perkara yang bukan mengingati Allah mengkeraskan hati. Dan sejauh-jauh manusia daripada Allah ialah orang yang keras hati.

Hadis riwayat Tirmizi.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Banyak bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah akan mengeraskan hati dan seterusnya menjauhkan daripada mendapat rahmat Allah s.w.t.

2- Orang yang degil dan keras hati daripada menerima kebenaran adalah orang yang sangat jauh daripada mendapat rahmat Allah s.w.t..

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ وَقَاهُ اللَّهُ شَرَّ مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَشَرَّ مَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ دَخَلَ الْجَنَّةَ. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ, وقال: حَدِيثٌ حَسَنٌ.

1520/9- Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang Allah jagakan kejahatan benda yang berada di antara dua tulang gusinya (lidah) dan kejahatan antara dua kakinya (kemaluan), maka dia akan masuk syurga.

Hadis riwayat Tirmizi dan beliau berkata; hadis hasan.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Hadis ini menguatkan lagi kepentingan menjaga lidah dan kemaluan.

2- Orang yang mampu menjaga lidah dan kemaluannya adalah orang yang mendapat nikmat penjagaan daripada Allah s.w.t..

3- Terdapat sebahagian hamba Allah yang mendapat "mahfuz" iaitu yang terjaga daripada dosa, tetapi mereka bukanlah "maksum" sebagaimana para Nabi.

وَعَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ, مَا النَّجَاةُ؟ قَالَ: أَمْسِكْ عَلَيْكَ لِسَانَكَ وَلْيَسَعْكَ بَيْتُكَ وَابْكِ عَلَى خَطِيئَتِكَ. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ, وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ.

1521/10- Daripada Uqbah bin Amir r.a. katanya, aku bertanya: Wahai Rasulullah, apakah dia (sebab) kejayaan? Baginda menjawab: Peliharalah lidahmu, dan hendaklah rumahmu melapangkanmu (penuhkanlah rumahmu dengan ketaatan kepada Allah) dan menangislah (bertaubat) di atas kesalahanmu.

Hadis riwayat Tirmizi dan beliau berkata: Hadis hasan.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Saranan supaya menjaga lidah jika tidak bercakap untuk kebaikan.

2- Saranan supaya mengurangkan bergaul jika bimbang pergaulan akan mendatangkan keburukan kepada diri dan agamanya dan tidak mampu memberikan manfaat keagamaan kepada orang lain.

3- Bersungguh-sungguh bertaubat di atas kesalahan dan dosa.

وَعَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا أَصْبَحَ ابْنُ آدَمَ فَإِنَّ الْأَعْضَاءَ كُلَّهَا تُكَفِّرُ اللِّسَانَ, تَقُولُ اتَّقِ اللَّهَ فِينَا, فَإِنَّمَا نَحْنُ بِكَ, فَإِنِ اسْتَقَمْتَ اسْتَقَمْنَا, وَإِنِ اعْوَجَجْتَ اعْوَجَجْنَا. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ.

1522/11- Daripada Abi Said al- Khudriyy r.a., Nabi s.a.w. bersabda: Apabila tibanya waktu pagi, seluruh anggota akan tunduk (merendah diri) kepada lidah dan berkata (merayu): Takutkanlah kepada Allah (wahai lidah) dalam menjaga kami. Sesungguhnya kami bergantung kepadamu. Kalau kamu betul (dengan kebenaran) kami juga akan betul dan jika kamu bengkok (daripada kebenaran) kami juga akan bengkok.

Hadis riwayat Tirmizi.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Kepentingan menjaga lidah untuk keselamatan. Ini kerana lidah adalah penterjemah utama kepada hati yang menjadi raja anggota manusia.

2- Anggota-angota lain akan terkesan dengan kesalahan dan dosa lidah.

وَعَنْ مُعَاذٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: َقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّه,ِ أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ وَيُبَاعِدُنِي مِنَ النَّارِ, قَالَ: لَقَدْ سَأَلْتَ عَنْ عَظِيمٍ, وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ تعالى عَلَيْهِ: تَعْبُدُ اللَّهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا, وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ, وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ, وَتَصُومُ رَمَضَانَ, وَتَحُجُّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً, ثُمَّ قَالَ: أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ, وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ, وَصَلَاةُ الرَّجُلِ مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ, ثُمَّ تَلَا: {تَتَجَافَى جُنُوْبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ} حَتَّى بَلَغَ {يَعْمَلُوْنَ}[1], ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُكَ بِرَأْسِ الْأَمْرِ وَعَمُودِهِ وَذِرْوَةِ سَنَامِهِ؟ قُلْتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ, قَالَ: رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ, وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ, وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ, ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُكَ بِمَلَاكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ قُلْتُ: بَلَى يَا رَسُوْلَ اللَّهِ, فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ, وَقَالَ: كُفَّ عَلَيْكَ هَذَا, قُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللَّهِ وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فَقَالَ: ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ, وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ إِلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ, وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ.

1523/12- Daripada Muaz r.a. katanya, aku bertanya: Wahai Rasulullah, beritahukan daku dengan amalan yang membolehkan daku masuk syurga dan menjauhkan daku daripada neraka? Baginda menjawab: Sesungguhnya kamu telah bertanya satu persoalan yang besar. Dan ia mudah sahaja kepada orang-orang yang dipermudahkan oleh Allah Taala (untuk perkara itu). (Iaitu) Kamu hendaklah menyembah Allah dan janganlah kamu menyengutukanNya dengan sesuatupun, kamu mendirikan solat, memberi zakat, berpuasa bulan ramadhan dan kamu menunaikan haji jika kamu mempunyai kemampuan. Kemudian baginda bersabda lagi: Mahukah kamu kalau aku tunjukkanmu pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai dan sedekah boleh menghilangkan dosa sebagaimana air boleh menghilangkan api dan juga solat malam. Kemudian baginda membaca (ayat al-Qur’an): “Lambung mereka jauh dari tempat tidur (mereka solat malam) hal keadaan mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa takut dan harap, dan mereka juga menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka (ganjaran berbagai-bagai nikmat dan pahala) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang mereka amalkan”. [Surah as-Sajdah ayat 16 dan 17] Baginda menambah lagi sabdanya: Mahukah kamu aku ceritakan tentang asas sesuatu perkara, tiangnya dan kemuncaknya? Aku menjawab: Sudah tentu wahai Rasululah. Sabda baginda: Asas sesuatu perkara ialah Islam dan tiangnya ialah solat dan kemuncaknya ialah berjihad. Kemudian baginda bersabda lagi: Mahukah kamu aku tunjukkan perkara yang mendokong semua perkara tadi? Aku menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah. Baginda pun mengambil lidahnya dan bersabda: Kamu jagalah (benda) ini. Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah kita akan diambil kira dengan apa-apa yang kita cakapkan? Baginda menjawab: Semuga emakmu tiada (kamu tersangat lalai). Tidakkah ramai manusia yang dibalik-balikkan muka-muka mereka di dalam neraka disebabkan oleh hasil percakapan mereka?

Hadis riwayat Tirmizi dan beliau berkata: hadis hasan sohih.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Hadis menunjukkan kepentingan rukun-rukun Islam.

2- Puasa akan menjadi benteng daripada dosa di dunia ini dan benteng kepada neraka di akhirat nanti.

3- Orang yang bersolat tahajjud akan diberikan ganjaran yang sangat istimewa di akhirat nanti.

4- Semua perkara mestilah diasaskan dengan Islam.

5- Orang yang berjihad adalah orang yang berada di kemuncak ketaatan kepada Allah s.w.t. dan mereka adalah pahlawan Islam dan bukannya pengganas.

6- Sebagaimana lidah boleh memasukkan seseorang ke dalam syurga, lidah juga boleh menyebabkan ramai manusia dihumban ke dalam neraka.

7- Kita tidak boleh mengecilkan peranan lidah samada untuk kebaikan atau keburukan.

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ, قِيلَ: أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ: إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ, وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ مَا تَقُوْلُ فَقَدْ بَهَتَّهُ . رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

1524/13- Daripada Abi Hurairah r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Tahukah kamu apa itu mengumpat? Para sahabat menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Baginda bersabda: (Mengumpat ialah) Sebutanmu terhadap saudaramu dengan perkara yang dia tidak suka. Baginda ditanya: Apa pula pendapatmu jika ada pada saudaraku itu (keburukan) yang aku katakan? Baginda menjawab: Kalaulah wujud (benar) keburukan yang kamu ceritakan itu, maka sebenarnya kamu telah mengumpatinya dan jika tidak benar, maka sebenarnya kamu telah memfitnahinya.

Hadis riwayat Muslim.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Hadis ini memberikan takrif tepat untuk mengumpat dan memfitnah.

2- Ramai manusia yang salah faham tentang takrif mengumpat.

وَعَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِيْ خُطْبَتِهِ يَوْمَ النَّحْرِ بِمِنًى فِيْ حَجَّةِ الوَدَاعِ: إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا, فِيْ شَهْرِكُمْ هَذَا, فِيْ بَلَدِكُمْ هَذَا, أَلَا هَلْ بَلَّغْتُ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

1525/14- Daripada Abi Bakrah r.a. , sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda dalam khutbahnya pada hari nahar (hari sembelihan raya haji) di Mina ketika baginda mengerjakan haji wada’: Sesunggunhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan maruah-maruah kamu adalah haram ke atas kamu sebagaimana haramnya hari ini (hari nahar), pada bulan kamu ini (zulhijjah) dan negeri kamu ini (Mekah). Ingatlah! Tidakkah aku telah menyampaikan?

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Pengajaran Daripada Hadis

1- Haramnya mencerobohi harta, maruah dan darah orang-orang Islam.

2- Begitu juga haramnya mencerobohi mereka dengan mengumpati mereka.

وَعَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: حَسْبُكَ مِنْ صَفِيَّةَ كَذَا وَكَذَا. قَالَ بَعْضُ الرُّوَاةِ: تَعْنِي قَصِيرَةً, فَقَالَ: لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ بِمَاءِ الْبَحْرِ لَمَزَجَتْهُ, قَالَتْ: وَحَكَيْتُ لَهُ إِنْسَانًا, فَقَالَ: مَا أُحِبُّ أَنِّي حَكَيْتُ إِنْسَانًا وَأَنَّ لِي كَذَا وَكَذَا. رَوَاهُ أبُوْ دَاوُدَ وَالتِّرْمِذِيُّ وَقَالَ: حَدِيْثُ حَسَنٌ صَحِيْحٌ.

1526/15- Daripada A’isyah r.a. katanya, aku berkata kepada Rasululah s.a.w.: Cukuplah kamu daripada Sofiyyah begini-begini. Kata setengah perawi hadis: Beliau maksudkan Sofiyyah itu rendah. Baginda menjawab: Sesungguhnya kamu telah mengatakan dengan satu kalimah yang mana kalau dicampurkan dengan air laut nescaya dia akan bercampur (yang boleh menyebabkan berubah bau atau rasa air laut tadi disebabkan kotornya mengumpat itu). Dan beliau berkata: Pernah aku menceritakan kepada baginda tentang seseorang dan baginda menjawab: Aku tidak suka untuk menceritakan seseorang sedangkan aku (juga) begini-begini.

Hadis riwayat Abu Dawuud dan Tirmizi dan beliau berkata: hadis hasan sohih.

Pengajaran Daripada Hadis

Berkata Imam Nawawi: Hadis ini adalah antara hadis yang paling kuat mencegah daripada mengumpat. Firman Allah s.w.t.: “Dan dia (Rasulullah) tidaklah bercakap mengikut hawa (nafsu). Tidak ada yang dia cakapkan melainkan wahyu yang diwahyukan”. Surah an-Najm: 3-4.

عَنْ أَنَسِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ, فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ. رَوَاهُ أبُوْ دَاوُدَ.

1527/16- Daripada Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Ketika aku dimikrajkan (malam israk dan mikraj) aku berjumpa dengan satu golongan yang kukunya adalah daripada tembaga, mereka melukakan muka-muka dan dada-dada meraka (dengan kuku itu). Lalu aku bertanya: Siapakah mereka ini wahai Jibril? Jibril menjawab: Merekalah orang-orang yang memakan daging-daging manusia (mengumpat) dan mengatakan keburukan terhadap maruah orang lain.

Hadis riwayat Abu Dawuud.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Besarnya azab yang akan diterima oleh si pengumpat sekalipun ia sudah menjadi sabahagian rutin harian mereka.

2- Mengumpat diumpamakan oleh Jibril a.s. di dalam hadis ini dengan perumpamaan al-Qur’an iaitu memakan daging manusia.

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَعِرْضُهُ وَمَالُهُ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

1528/17- Daripada Abi Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Setiap muslim ke atas muslim (yang lain) diharamkan darahnya, maruahnya dan hartanya.

Hadis riwayat Muslim.

Pengajaran Daripada Hadis

1- Islam sangat menjaga nyawa, harta dan juga kemulian manusia .

2- Hadis menceritakan sebahagian daripada prinsip asas Islam yang lima, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan (juga maruah) dan harta.

3- Orang Islam bukan sahaja tidak boleh membunuh atau mengambil harta muslim yang lain, bahkan juga tidak boleh mengaibkan dan menjatuhkan maruah mereka.

4- Kebebasan individu sesorang muslim tidaklah boleh kepada tahap menyakiti muslim yang lain atau merosakkan harta benda mereka.

5- Islam adalah agama yang mementingkan keamanan. Setiap perkara yang boleh membawa kepada kekacauan dan penindasan adalah bukan daripada ajaran Islam.

6- Dakwaan yang mengatakan bahawa Islam adalah agama yang ganas adalah dakwaan yang bertujuan memburukkan Islam. Bahkan orang yang mendakwa demikian adalah orang yang cuba menimbulkan kekacauan dan keganasan.



[1] تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ {16} فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاء بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ {17}سورة السجدة: 16-17.

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP